Raya..Balik Kampung !!

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Malam ni dah cukup 10 Zulhijjah, maka sudah masuk hari Eidul Adha. Sudah kedengaran di serata tempat, laungan takbir yang sangat bermakna..

Semalam punya la resah pasal sepatutnya menurut jadual, kelas hari ni habis pada pukul 12.30 tengahari. Tapi lepas berjumpa dengan Prof, beliau benarkan balik awal. Yess, sukanya hati. Hehe..

Hari ni rasa nak share pengalaman pertama balik kampung beraya dalam keadaan kesesakan jalan raya. Huhu..Hari tu Eidul Fitri, tak bersesak kerana pulang cuti raya awal seminggu daripada orang lain. hehe

Hari ni, saya bertolak balik ke kampung dari Shah Alam dengan menaiki kereta bersama-sama sepupu dan suaminya. Jam 12 tengahari baru bertolak setelah pergi melawat nenek suami sepupu terlebih dahulu sebelum bertolak balik beraya di Terengganu.

Bermula dari lebuhraya di Gombak, sudah menunjukkan tanda-tanda akan berlaku kesesakan. Kereta-kereta penuh di stesen minyak sepanjang lebuh raya. Tak kira Shell, Petronas, BHP, Caltex dan sebagainya. Berderet kereta untuk mengepam minyak.

Sampai sahaja di tol Gombak, ya Allah. Sesak!! Kereta semua bergerak sangat perlahan, sikit-sikit je. Pasal kemungkinan kerana hanya dua jalan dibuka, satu jalan ditutup kerana penyelenggaraan. Sebelum sampai di terowong, Alhamdulillah kembali pulih dari kesesakan.

Tapi yang sadisnya. Ingatkan lebuhraya Kuala Berang menuju ke Kuala Terengganu tak sesak. Guna jalan tu, memang mula-mula tak ada orang sangat guna jalan ni. Sampai di mana entah, lupa pulak nama kampung kat situ. Kampung Tok Dor rasanya. Dah start jem sangat teruk. Ramai yang patah balik. Kami pun hairan jugak. Kenapa mereka berpatah balik. Kereta yang menuju ke Kuala Terengganu tidak bergerak. Gerak sikit demi sikit je.

Masa tengah jem tu, sempat tanya pemandu yang nak patah balik tu. Pemandu tu cakap, jalan sesak teruk sepanjang 15km. Dia cadangkan supaya patah balik. Waaa, nak patah balik lagi jauh. Dan bukannya tahu jalan alternatif di situ. Jadi, redah sahaja la. Sampailah nampak pakcik kat tepi jalan. Sepupu saya pun tanya, kenapa? Ada kemalangan ke apa? Jawab pakcik tu, jalan runtuh kat depan sana. Sebab tu sesak teruk.

Dalam bersesak ni la banyak menguji kesabaran kita sebenarnya sebagai pemandu. Sama ada kita ni memang penyabar, berhati perut, hormat menghormati dan sebagainya. Ramai pemandu tadi mengambil sikap penting diri dengan memotong kereta yang line up. Diorang potong menggunakan jalan sebelah kiri sedangkan hanya ada satu lorong sahaja. Kiranya, masuk bahu jalan la, then sibuk-sibuk nak mencelah masuk line balik.

Ada tu plak, yang terus masuk lorong lawan arus untuk memotong memandangkan lorong tu lengang. Memang tak ada sikap sabar dan menghormati pemandu-pemandu lain. Kalau kita nak cepat, orang lain pun nak cepat jugak. Kalau kita serabut dengan keadaaan sesak, pemandu lain pun macam tu jugak. Jika kita kepenatan, pemandu lain pun kepenatan jugak. Jadi, jagalah etika kita, adab kita ketika memandu. Allah dan Rasul dah susun cantik macam mana adab dalam setiap perkara. Adab ni la yang perlu kita ikut supaya semuanya dalam keadaan aman dan harmoni. Jangan mementingkan diri kita sahaja tanpa memikirkan keadaan orang lain macam mana.

Lastnya, jalan jem sepanjang lebih kurang 10km ( berita diterima sebelum tu tak tepat la kiranya ).. Dan kami terperangkap dalam kesesakan kat situ, satu jam setengah. Rupanya, jalan di situ agak teruk ( masih dibaiki ) dan sempit. Mungkin faktor ni yang menyebabkan kesesakan. Tambahan pulak di musim perayaan ni.

Sebelum mengundur diri ( sudah keletihan ), Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua muslimin muslimat. Semoga ibadah korban kita diterima Allah sebagai antara amalan penyumbang pahala kepada kita. Mari kita renung dan mengingati kembali sirah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Bagaiman kisah pengorbanan mereka. Sanggup menggadaikan nyawa kerana keyakinan dan kepatuhan kepada suruhan Allah.

Mari kita muhasabah balik diri kita. Fikir, apa pengorbanan yang telah kita lakukan selama ini di jalanNya? Adakah sudah memadai? Tepuk dada, tanya iman kita macam mana.

Barakallahulakum fi khairin barakah.

Wallahu A'lam

Dipotong Tangan Kerana Memberikan Sedekah

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata,

"Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah SWT"
.

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.

Semenjak dari peristiwa itu maka Allah SWT pun mengubah kehidupan orang kaya tersebut dengan menarik kembali harta kekayaannya sehinnga menjadi seorang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang hina. Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari rumah ke rumah.

Pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu daripada rumah tersebut. Ibu tersebut amat kagum dengan kecantikkan gadis tersebut lalu memperlawanya masuk kedalam rumahnya. Oleh kerana kagum dengan kecantikkannya, si ibu berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Setelah selesai perkahwinan, si ibu memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam, semasa waktu makan malam, gadis tersebut makan bersama suaminya. Oleh kerana kudung yang tidak diketahui si suami kerana ibunya merahsiakannya si gadis tersebut makan menggunakan tangan kiri. Apabila si suami melihat keadaan isterinya itu, maka disuruhnya gadis tersebut makan dengan tangan kanan. Si isteri tetap makan dengan tangan kiri meski suaminya berulang-ulang kali menyuruh menggunakan tangan kanan. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu

"Keluarkanlah tangan kananmu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas keranaKu, maka tiada halangan bagiKu untuk mengembalikan kembali tanganmu itu."


Setelah gadis itu mendengar, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya berada dalam keadaan asal.



Hendaklah kita menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin. Apabila dia datang kerumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah SWT. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku, dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah SWT"
.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya tetamu itu apabila datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat"


Source : www.iLuvislam.com

Sifat-Sifat Wanita Ahli Syurga




Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.

Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain" (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita.

Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika
salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah! "

Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan
berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan
hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami. Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:

"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."

Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun,
walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya."
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.

Cuti Dah Nak Habis Pun!!

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Cuti semester 1 masih tinggal lagi beberapa hari. Setelah hampir sebulan setengah bercuti daripada segala buku akademik, akhirnya sekarang sudah tiba masa untuk mengembalikan kekuatan daya otak kepada maksimum kembali.

Semester 2 dan juga merupakan semester akhir saya dalam Asasi Sains, akan menjelma jugak pada 16 November 2009. Walaupun rasa macam tiada semangat, pasal lama sangat cuti berbanding universiti-universiti lain ( kursus asasi ), jadi mood bermalas-malasan ketika cuti masih belum hilang. Hehe..

Tapi pada cuti semester kali ini, ada beberapa aktiviti yang berlaku. Satunya, saya telah selamat menjalani Malaysian University English Test pada 20 Oktober ( speaking ) dan bakinya pada 7 November yang lepas. Semoga keputusan MUET ni dapat capai band 4 paling kurang, insyaAllah. Setelah berusaha dengan sendiri, kerana di universiti kami, kami tidak ada subjek khusus untuk MUET ni. Jadi, semuanya belajar sendiri dengan merujuk buku, kawan-kawan dan jugak internet. InsyaAllah, setelah berusaha, kita hanya mampu berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu, memberikan semangat dan nasihat serta mendoakan.

Pada cuti semester ini jugak, nak kata sibuk tak lah jugak dengan tugas ni. Dilantik menjadi Setiausaha Kursus Pengurusan Organisasi iLuvislam.com di bawah anjuran Event Team Malaysia. Kursus ni melibatkan krew iLuvislam.com dari seluruh Malaysia, insyaAllah yang akan berlangsung pada 4-6 Disember 2009. Mohon doa sahabat-sahabat sekalian agar program ini berjalan dengan lancar. Apabila program melibatkan beberapa hari yang kena bermalam, sudah tentu bajetnya besar, kerjanya banyak, usaha yang gigih. Alhamdulillah, rakan-rakan seperjuangan dalam jawatankuasa program sangat bersemangat untuk menguruskan hal ini. Semoga usaha kita ini mendapat keredhaan Allah sebagai amalan buat diri kita.

Seringkali ada yang bertanyakan mengenai penglibatan saya dalam iLuvislam.com sebagai moderator forum dan jugak sebagai Event Team Malaysia. Soalan biasanya melibatkan kewangan atau lebih tepat dikatakan elaun. " Kamu dapat elaun berapa sebulan? " Inilah antara soalan yang glemer yang pernah ditanya. Hanya menjawab, sukarela. Tak tahu lah kenapa, sangat sayang untuk meninggalkan iLuvislam.com. Bak kata Makngah, macam dijampi pulak. Hehe. Kerana apa ye? Mungkin hanya sesiapa yang merasainya sendiri akan boleh menjawab dan tahu akan jawapannya..

Salah satunya, i love islam ( iluvislam ). Daripada ini, dapat satu jawapan. Bekerja kerana sayangkan Islam. Bersama-sama untuk mengajak remaja-remaja terutamanya kepada Islam kembali, tidak kira atas dasar dia dari mana dan sebagainya. Yang kedua, ukhuwwah. Ukhuwwah yang begitu erat dalam kalangan krew walaupun ada yang hanya mengenali di alam maya, namun atas dasar ukhuwwah kerana Allah, kami sangat erat. Itulah yang sangat indah. Alhamdulillah Ya Allah..

Kembali kepada topik asal, mengenai semester. Semester 2 yang akan datang, mestilah lagi mencabar berbanding sem 1 baru-baru ini. Lagi 4 bulan diriku harus bertahan untuk menghabiskan asasi ini. Keputusan sem kali ini amat penting untuk melayakkan diri saya untuk memilih kursus yang diminati dan jugak untuk 'fly over the sea'. Hehe, insyaAllah kalau ada rezeki. Sem 2 ini insyaAllah akan lebih struggle berbanding sem 1 yang dikira tak 100% serius. Result sem 1 pun belum menunjukkan tanda-tanda untuk diumumkan.

Mohon doa daripada sahabat-sahabat sekalian agar segala urusan saya pada tahun ini, tahun depan dan selepas ini akan berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala urusan oleh Allah dan dalam keredhaanNya. InsyaAllah...



Meninggalkan posting kali ini dengan sedikit kata-kata nasihat, insyaAllah :

Belajarlah “aku tidak tahu”, kerana jika engkau belajar “aku tidak tahu“, mereka akan mengajar engkau sehingga engkau tahu, tetapi jika engkau belajar “aku tahu” maka mereka akan bertanya engkau sehingga engkau tidak tahu!!



Barakallahu lakum..

Wallahu A'lam