KPO'09 Melabuhkan Tirainya...


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Mencuri sedikit masa dari kesibukan diri sebagai pelajar untuk update cerita dan berita daripada program KPO'09. KPO'09 atau nama panjangnya, Kursus Pengurusan Organisasi 2009 iLuvislam.com berjaya diadakan di Asrama Anak Yatim Damai, Kuang, Sungai Buloh, Selangor pada 4 Dis - 6 Dis 2009. Alhamdulillah.Apa khabar semua??? HEBAT!!!!!!!!!

Setelah 2 bulan para JKP bertungkus-lumus menyiapkan tugas masing-masing untuk KPO'09, semuanya membuahkan hasil yang mengagumkan. Pelbagai cabaran yang para JKP terpaksa hadapi untuk melaksanakan KPO'09. Dengan cabaran yang lebih luar biasa daripada ahli jawatankuasa program lain kerana kami JKP KPO'09 melakukan kerja secara online. Mesyuarat secara online, bekerja secara online, update berita dan lebih kurang 60 % kerja secara online. Sangat mencabar. Hanya mengadap tulisan dan taipan daripada para JKP lain untuk mengetahui berita terkini walaupun ada jugak yang call untuk update berita. ( nak cepat ).. Termasuklah cabaran untuk confirmation peserta untuk menyertai KPO'09, cabaran untuk mendapatkan sponsor daripada pihak luar, dan sebagainya. Namun, para JKP tetap tabah dan kuat hadapi segala cabaran ini. Tahniah kepada kalian. Hanya Allah yang dapat membalas kalian dengan ganjaran yang setimpal dengan kerja-kerja kalian. insyaAllah.

Hari-hari terakhir sebelum KPO'09 menjelang, diri terasa macam sudah tidak senang duduk dengan masalah-masalah yang timbul last minute. Stadi sampaikan agak terabai sedikit, tidak sempat mana nak stadi kesemua subjek pada setiap malam kerana mendahulukan amanah yang diberikan. Dah berazam, habis KPO'09, masa untuk topup balik stadi.

Hari Khamis petang, menunggu ketibaan Kak Suhana Nur yang akan datang mengambil saya di hostel. Sanggup turun dari Klang, terima kasih Kak Su. Walaupun hujan lebat, jalan sesak teruk, masih bersabar meneruskan perjalanan nak ambil puteri. Sampai lewat petang di hostel, dalam keadaan hujab agak lebat, punggah semua barang yang perlu dibawa. Then pergi ke Seksyen 17 untuk ambil barang daripada Kak Hidayah untuk diberikan kepada anak-anak yatim di Asrama Damai.

Lewat petang, dah hampir pukul 7 baru kami bertolak dari Shah Alam. Ya Allah, jalan sangat jem. Tapi pemandangan menarik kerana dapat lihat banyak cahaya-cahaya lampu kereta. Hehe. Kami redah sahaja jalan, menggunakan google map yang Kak Suhana dah print. Berhenti sekejap kat Hentian Rehat apa entah kat Lebuhraya Guthrie untuk menunaikan solat Maghrib. Kak Suhana plak siap order sate nak makan. Sebab dari mula perjalanan, Kak Su asyik cakap lapar. Haha..Boleh pulak Kak Suhana order sate arnab dengan sate rusa. Ya Allah, first time ni. Teragak-agak nak makan sate tu. Dah la Kak Suhana tempah banyak. Aihh, Kak Su ni. Mula-mula makan sate ayam je dulu. Lepas tu, nak rasa la sate arnab, bila lagi nak grab peluang ni. Makan je la. Sate arnab, habis lah secucuk makan, biasa je rasanya. Sate rusa pulak, tak sanggup nak habiskan. Pass kat Kak Su suruh habiskan sate rusa tu, liat sangat. Gigit-gigit pun tak putus, telan macam tu je. Huhu..

Then, sambung perjalanan balik menuju ke Sungai Buloh. Alhamdulillah, tak sesat pun nak menuju ke Asrama Anak Yatim Damai ni. Sampai je, dah isya'. Terus menuju ke surau dahulu untuk solat Isya'. Waa, bersalaman semua. Rindu dengan krew-krew iLuvislam. Salam n peluk2 semua krew JKP yang dah sampai masa tu. Dan dikenalkan dengan sorang krew yang sangat rapat dalam YM, tapi belum pernah berjumpa di alam nyata. Kak Suhana, jauh turun dari Sabah nak join KPO. Semangat!! ( pinjam ayat Kak Atul )..Kami dijemput oleh pihak asrama tersebut untuk makan nasi lemak ayam yang ada kat situ. Sambil beramah mesra dengan JKP yang dah ada. Dalam pukul 10.30 malam, mulakan mesyuarat dan briefing untuk para JKP mengenai aktiviti yang akan diadakan.

Pemilihan lagu tema pun, baru malam tu pilih. Alhamdulillah, lagu yang cukup menaikkan semangat untuk terus berjuang. Lagu Bangunlah dari Shoutul Amal. Mata semua dah mengantuk, keletihan. Pukul 12.30 pagi kot baru habis mesyuarat ni. Saya, Aina dan Wann masuk ke bilik pukul 1.30 pagi la lebih kurang. Tapi tak terus tidur pun saya dengan Aina, masih berjaga untuk menyiapkan barang-barang amanah yang akan diberikan kepada setiap peserta. Lastnya kami tertidur. Haha...Dengan barang amanah tersebut bersepah atas tilam. Sempat bukak plastik epal yang akan digunakan untuk sukaneka, amik 2biji, then kami makan kerana kelaparan. Haha.

Keesokan pagi, dengan kemengantukan akibat tidur beberapa jam sahaja, pagi tu kemaskan dewan yang akan digunakan. Sempat beramah mesra dengan anak yatim kat situ yang datang menjenguk kami buat kerja dalam asrama. Dah siap kemas dewan, kami semua pergi sarapan pagi dulu. Pekena roti canai cheese ( idea Kak Nisa ). Then menuju ke Stesen KTM Kuang nak menyambut kedatangan para peserta. Target asal akan sampai di Stesen KTM Kuang jam 11.30 pagi, tapi disebabkan ada masalah yang timbul di KL Sentral, mereka sampai lambat. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari. Dah puas snap2 gambar pagi tu, posing2 kat Stesen KTM Kuang. Kak As, Kak Nisa, Aina, Saya, dan Wann yang ada masa tu. Haha..Orang tengok pelik jugak, dah la berpakaian merah, dengan name tag lagi. Adeii. Menjadi perhatian orang pulak.

Peserta dah sampai, sempat la jugak bergambar dengan banner KPO kat Stesen KTM Kuang tu, bersalam-salaman dulu. Majoriti berpakaian merah ( warna tema iLuvislam ). Sepatutnya pagi Jumaat tu, Puteri, Aina dan Wann menguruskan sukaneka dan modul bersama-sama anak yatim, tetapi masalah yang timbul di pihak anak yatim, tak boleh dilaksanakan aktiviti ni. Petang tu, bersiap-siap untuk pendaftaran peserta pulak setelah solat Asar. Kemudian diteruskan dengan slot Taaruf. Malam tu plak sepatutnya majlis perasmian. Dan ada slot Modul Komunikasi dan Pengucapan Awam. Sepatutnya Puteri yang present modul ni ( modul tugasan untuk Puteri ) tapi menjemput presenter luar, ayah seorang JKP KPO'09, yang sanggup turun untuk membantu. Alhamdulillah. Selepas slot ni, ada pulak Ice Breaking. Untuk lagi mengeratkan ukhuwwah.

Dah habis program untuk peserta malam tu, JKP bersengkang mata lagi. Untuk post mortem aktiviti hari tu dan briefing untuk aktiviti keesokan hari pulak. Dah habis briefing, latihan poco-poco pulak. Kak Nisa yang ajarkan, Kak Masyitah pun ajar. Geli hati tengok gelagat Bro Ruzaini dan Abang Fitri buat poco-poco. Macam-macam gaya yang keluar dari diorang. Tidak kusangka. Haha. Saya pun join jugak dari belakang, poco-poco yang telah diubah gaya untuk disesuaikan dengan kita. Tak over. Tengah-tengah dok ikut step diorang buat poco-poco, srupppp.. Rasa sakit mencucuk dan menyengat kat tapak kaki. Ngilu. Duduk, tengok tapak kaki, ada serangga melekat. Kuis-kuis. Beritahu Kak Masyitah, sakit. Then pergi belakang dengan kaki terhincut-hincut. Tengok-tengok, dah agak bengkak jugak. Nak picit keluarkan bisa, tapi tak boleh pasal kulit tapak kaki kan tebal. Masa tu tak tahu apa serangga yang sengat tu. Just letak vicks kerana sangkakan serangga biasa saje. Beritahu Wann supaya buang serangga tu ke luar. Sekali Wann tanya, ini lebah. Sapa yang kena sengat pasal lebah tu dah mati? Adei, kena sengat lebah rupanya malam tu. Kena kat tapak kaki, alamaknya, bayang sendiri la macam mana nak jalan tu.

Esoknya, kaki dah bengkak. Ustaz Remy dua tiga kali tanya OK atau tak, then ajak pi klinik. Maklumlah, diriku memang degil, tidak pergi. Berkali cakap kat ustaz, puteri ok walaupun sakit sebenarnya. Tapi malas nak menyusahkan orang dan merisaukan orang. Tengahari tu keluar dengan Kak Ila pergi beli ubat kat klinik. Thanks Kak Ila. Siap keluar beli coklat lagi. Hehe. Best2.. Masa pagi tu, masih semangat nak tunjukkan demo poco-poco pada peserta perempuan. Dah berlatih awal pagi, mesti lah semangat nak tunjuk. Hehe. Walaupun kaki agak terhincut, tak boleh nak berpijak, tapi boleh lagi buat poco-poco.

Hari kedua sangat padat dengan 6 slot modul untuk dibentangkan sepanjang hari. LDK yang diadakan selepas solat Zohor, perbahasan ala-ala dalam parlimen. Ada pembangkang dan ada kerajaan serta ada speaker. Isu perbincangan mengenai kewajaran membeli insinerator dan jugak berkenaan PPSMI. Petang tu pulak, masa riadhah LDK, aktiviti yang bertajuk iLuvislam ceria diadakan. Sangat menarik aktiviti ni, bahagian denda tu yang menjadikan aktiviti ni menarik. Kumpulan yang kalah, akan dipalit dengan tepung yang sudah dibancuh dengan pewarna. Ada tiga warna, merah, kuning dan hijau. Warna hijau paling pekat kerana saya tersilap tuang sebotok serbuk hijau untuk sebaldi kecil adunan tu. Haha. Sempat memaksa Presiden iLi untuk join aktiviti ni walaupun pada mulanya beliau mengatakan tidak mahu menyertai.

Tapi sayangnya, saya tidak dapat join ( selamat dari kena dipalit tepung ) kerana menguruskan sukaneka untuk anak-anak yatim yang berumur 11 tahun dan ke bawah dengan bantuan Kak As, Kak Masyitah dan Aman ( mengelat tak nak join LDK iLuvislam ceria ). Sukaneka pertama, mencari gula-gula dalam tepung menggunakan mulut. Mula-mula OK lagi. Lepas pada tu, mereka bertindak di luar dugaan. Mereka mengambil tepung, kemudian saling menyerang kawan-kawan menggunakan tepung. Terpaksa kami limpahkan tepung tersebut atas tanah. Nasib baik diriku selamat dari terkena balingan tepung ni. Kak As, Kak Masyitah dan Aman memang dah kena tepung. Habis baju mereka. Haha. Kesian. Aktiviti kedua plak, mengisi air dalam botol. Jugak sama, kena limpah air. Adoiii.. Sekali lagi terpaksa menuang air dalam baldi ke atas tanah. Lastnya kami bagi sahaja epal sorang sebiji, gula-gula yang lebih. Semasa menyiapkan barang-barang untuk sukaneka sebelum tu, sempat Kak As meminta mereka menyanyikan lagu Asrama Damai. Sangat sebak dengar lagu tu, sedih, terharu. Tempat mereka mencari kedamaian. Lepas habis, sempat meninjau aktiviti iLuvislam ceria. Tergelak dalam kereta dengan Kak Masyitah, tengok masing-masing ada palitan tepung berwarna kat muka. Ada warna hijau, merah, kuning. Presiden pun kena palit jugak, termasuklah Ketua Pengarah Program. Haha, kesiannn..

Panjang pulak. Macam dah boleh masukkan dalam report KPO. Dah ada gen sebagai S/U kot lepas dah jadi S/U KPO ni. Haha. Panjang berjela pulak posting ni. Masuk hari ketiga terus la. Hari ketiga ada lagi baki dua modul yang perlu dibentangkan. Selepas habis majlis perasmian penutup serta persembahan istimewa daripada Bro Muadz ( dewan agak penuh dengan anak-anak yatim ), kami semua para peserta teruskan dengan aktiviti pertukaran hadiah. Ada yang dapat playdoh, botol air, al quran, buku, bantal upin ipin ( kena kidnap oleh dua orang yang bertanggungjawab..haha ), scott dan macam-macam lagi. Tambah lucu, Bendahari KPO dapat hadiah duit RM10 yang dilipat menjadi bentuk baju. Haha. Tu lah, sebelum KPO, asyik dok menjadi ceti. Kan dah dapat duit RM10.. Saya pulak dapat frame buaian yang ada wallpaper iLuvislam belakang tu dan jugak buku autograph. Thanks to Adik Syazwani eh..Lawa sangat.

Lepas aktiviti ni, kami buat halaqah ( bulatan ). Satu muslimin dan satu muslimat. Berpegangan tangan, rapat-rapat sambil diiringi lagu. Mula-mula lagu ceria. Sampai lagu Doa Perpisahan, tak dapat nak tahan air mata dari mengalir. Perasaan dah bercampur baur. Rasa sedih nak berpisah dengan semua sahabat, rasa gembira KPO dah habis, rasa lega perjalanan berjalan lancar, dan rasa macam tidak percaya, KPO sudah pun melabuhkan tirai. Pembacaan doa wahdah diketuai oleh Ustaz Remy dan bersalam-salaman dengan semua peserta. Terasa sangat dengan kehebatan ukhuwwah ni. Para JKP bertolak balik selepas solat Maghrib di sana, kemudian menuju ke kedai makan untuk makan bersama-sama sebelum masing-masing kembali ke destinasi sendiri. Dalam pukul 9 lebih baru sudah semuanya.

Semoga ukhuwwah yang dijalinkan ini adalah kerana ukhhuwah fillah, bukan ukhuwwah filprogram seperti Bro Muadz katakan. Semangat dengar kata-kata Bro Muadz, Hidup iLuvislam, Maju iLuvislam. InsyaAllah. Semoga semuanya dapat mengambil pengajaran daripada aktiviti yang telah kita adakan selama 3hari 2malam tersebut. Banyak pengalaman baru yang dapat kan? Antaranya, mandi kolah seawal 4pagi, makan suap menyuap di dalam dulang dan sebagainya. Inilah kehebatan ukhuwwah. Tak kenal maka tak cinta.

Wakil dari pihak JKP, memohon maaf dengan segala kekurangan dan kelemahan yang timbul sepanjang KPO'09. InsyaAllah kami akan perbaiki segalanya selepas ini. Kepada para fasi dan JKP, terima kasih kerana kalian sangat komited walaupun masing-masing ada komitmen sendiri, tapi masih komited menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Kalian memang hebat...

Dah la dulu. Mesti semua dah boring baca posting kali ini panjang sangat. huhu. Maaf semua..

Wallahu A'lam

Raya..Balik Kampung !!

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Malam ni dah cukup 10 Zulhijjah, maka sudah masuk hari Eidul Adha. Sudah kedengaran di serata tempat, laungan takbir yang sangat bermakna..

Semalam punya la resah pasal sepatutnya menurut jadual, kelas hari ni habis pada pukul 12.30 tengahari. Tapi lepas berjumpa dengan Prof, beliau benarkan balik awal. Yess, sukanya hati. Hehe..

Hari ni rasa nak share pengalaman pertama balik kampung beraya dalam keadaan kesesakan jalan raya. Huhu..Hari tu Eidul Fitri, tak bersesak kerana pulang cuti raya awal seminggu daripada orang lain. hehe

Hari ni, saya bertolak balik ke kampung dari Shah Alam dengan menaiki kereta bersama-sama sepupu dan suaminya. Jam 12 tengahari baru bertolak setelah pergi melawat nenek suami sepupu terlebih dahulu sebelum bertolak balik beraya di Terengganu.

Bermula dari lebuhraya di Gombak, sudah menunjukkan tanda-tanda akan berlaku kesesakan. Kereta-kereta penuh di stesen minyak sepanjang lebuh raya. Tak kira Shell, Petronas, BHP, Caltex dan sebagainya. Berderet kereta untuk mengepam minyak.

Sampai sahaja di tol Gombak, ya Allah. Sesak!! Kereta semua bergerak sangat perlahan, sikit-sikit je. Pasal kemungkinan kerana hanya dua jalan dibuka, satu jalan ditutup kerana penyelenggaraan. Sebelum sampai di terowong, Alhamdulillah kembali pulih dari kesesakan.

Tapi yang sadisnya. Ingatkan lebuhraya Kuala Berang menuju ke Kuala Terengganu tak sesak. Guna jalan tu, memang mula-mula tak ada orang sangat guna jalan ni. Sampai di mana entah, lupa pulak nama kampung kat situ. Kampung Tok Dor rasanya. Dah start jem sangat teruk. Ramai yang patah balik. Kami pun hairan jugak. Kenapa mereka berpatah balik. Kereta yang menuju ke Kuala Terengganu tidak bergerak. Gerak sikit demi sikit je.

Masa tengah jem tu, sempat tanya pemandu yang nak patah balik tu. Pemandu tu cakap, jalan sesak teruk sepanjang 15km. Dia cadangkan supaya patah balik. Waaa, nak patah balik lagi jauh. Dan bukannya tahu jalan alternatif di situ. Jadi, redah sahaja la. Sampailah nampak pakcik kat tepi jalan. Sepupu saya pun tanya, kenapa? Ada kemalangan ke apa? Jawab pakcik tu, jalan runtuh kat depan sana. Sebab tu sesak teruk.

Dalam bersesak ni la banyak menguji kesabaran kita sebenarnya sebagai pemandu. Sama ada kita ni memang penyabar, berhati perut, hormat menghormati dan sebagainya. Ramai pemandu tadi mengambil sikap penting diri dengan memotong kereta yang line up. Diorang potong menggunakan jalan sebelah kiri sedangkan hanya ada satu lorong sahaja. Kiranya, masuk bahu jalan la, then sibuk-sibuk nak mencelah masuk line balik.

Ada tu plak, yang terus masuk lorong lawan arus untuk memotong memandangkan lorong tu lengang. Memang tak ada sikap sabar dan menghormati pemandu-pemandu lain. Kalau kita nak cepat, orang lain pun nak cepat jugak. Kalau kita serabut dengan keadaaan sesak, pemandu lain pun macam tu jugak. Jika kita kepenatan, pemandu lain pun kepenatan jugak. Jadi, jagalah etika kita, adab kita ketika memandu. Allah dan Rasul dah susun cantik macam mana adab dalam setiap perkara. Adab ni la yang perlu kita ikut supaya semuanya dalam keadaan aman dan harmoni. Jangan mementingkan diri kita sahaja tanpa memikirkan keadaan orang lain macam mana.

Lastnya, jalan jem sepanjang lebih kurang 10km ( berita diterima sebelum tu tak tepat la kiranya ).. Dan kami terperangkap dalam kesesakan kat situ, satu jam setengah. Rupanya, jalan di situ agak teruk ( masih dibaiki ) dan sempit. Mungkin faktor ni yang menyebabkan kesesakan. Tambahan pulak di musim perayaan ni.

Sebelum mengundur diri ( sudah keletihan ), Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua muslimin muslimat. Semoga ibadah korban kita diterima Allah sebagai antara amalan penyumbang pahala kepada kita. Mari kita renung dan mengingati kembali sirah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Bagaiman kisah pengorbanan mereka. Sanggup menggadaikan nyawa kerana keyakinan dan kepatuhan kepada suruhan Allah.

Mari kita muhasabah balik diri kita. Fikir, apa pengorbanan yang telah kita lakukan selama ini di jalanNya? Adakah sudah memadai? Tepuk dada, tanya iman kita macam mana.

Barakallahulakum fi khairin barakah.

Wallahu A'lam

Dipotong Tangan Kerana Memberikan Sedekah

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata,

"Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah SWT"
.

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.

Semenjak dari peristiwa itu maka Allah SWT pun mengubah kehidupan orang kaya tersebut dengan menarik kembali harta kekayaannya sehinnga menjadi seorang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang hina. Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari rumah ke rumah.

Pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu daripada rumah tersebut. Ibu tersebut amat kagum dengan kecantikkan gadis tersebut lalu memperlawanya masuk kedalam rumahnya. Oleh kerana kagum dengan kecantikkannya, si ibu berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Setelah selesai perkahwinan, si ibu memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam, semasa waktu makan malam, gadis tersebut makan bersama suaminya. Oleh kerana kudung yang tidak diketahui si suami kerana ibunya merahsiakannya si gadis tersebut makan menggunakan tangan kiri. Apabila si suami melihat keadaan isterinya itu, maka disuruhnya gadis tersebut makan dengan tangan kanan. Si isteri tetap makan dengan tangan kiri meski suaminya berulang-ulang kali menyuruh menggunakan tangan kanan. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu

"Keluarkanlah tangan kananmu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas keranaKu, maka tiada halangan bagiKu untuk mengembalikan kembali tanganmu itu."


Setelah gadis itu mendengar, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya berada dalam keadaan asal.



Hendaklah kita menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin. Apabila dia datang kerumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah SWT. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku, dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah SWT"
.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya tetamu itu apabila datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat"


Source : www.iLuvislam.com

Sifat-Sifat Wanita Ahli Syurga




Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.

Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain" (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita.

Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika
salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah! "

Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan
berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan
hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami. Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:

"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."

Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun,
walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya."
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.

Cuti Dah Nak Habis Pun!!

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Cuti semester 1 masih tinggal lagi beberapa hari. Setelah hampir sebulan setengah bercuti daripada segala buku akademik, akhirnya sekarang sudah tiba masa untuk mengembalikan kekuatan daya otak kepada maksimum kembali.

Semester 2 dan juga merupakan semester akhir saya dalam Asasi Sains, akan menjelma jugak pada 16 November 2009. Walaupun rasa macam tiada semangat, pasal lama sangat cuti berbanding universiti-universiti lain ( kursus asasi ), jadi mood bermalas-malasan ketika cuti masih belum hilang. Hehe..

Tapi pada cuti semester kali ini, ada beberapa aktiviti yang berlaku. Satunya, saya telah selamat menjalani Malaysian University English Test pada 20 Oktober ( speaking ) dan bakinya pada 7 November yang lepas. Semoga keputusan MUET ni dapat capai band 4 paling kurang, insyaAllah. Setelah berusaha dengan sendiri, kerana di universiti kami, kami tidak ada subjek khusus untuk MUET ni. Jadi, semuanya belajar sendiri dengan merujuk buku, kawan-kawan dan jugak internet. InsyaAllah, setelah berusaha, kita hanya mampu berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu, memberikan semangat dan nasihat serta mendoakan.

Pada cuti semester ini jugak, nak kata sibuk tak lah jugak dengan tugas ni. Dilantik menjadi Setiausaha Kursus Pengurusan Organisasi iLuvislam.com di bawah anjuran Event Team Malaysia. Kursus ni melibatkan krew iLuvislam.com dari seluruh Malaysia, insyaAllah yang akan berlangsung pada 4-6 Disember 2009. Mohon doa sahabat-sahabat sekalian agar program ini berjalan dengan lancar. Apabila program melibatkan beberapa hari yang kena bermalam, sudah tentu bajetnya besar, kerjanya banyak, usaha yang gigih. Alhamdulillah, rakan-rakan seperjuangan dalam jawatankuasa program sangat bersemangat untuk menguruskan hal ini. Semoga usaha kita ini mendapat keredhaan Allah sebagai amalan buat diri kita.

Seringkali ada yang bertanyakan mengenai penglibatan saya dalam iLuvislam.com sebagai moderator forum dan jugak sebagai Event Team Malaysia. Soalan biasanya melibatkan kewangan atau lebih tepat dikatakan elaun. " Kamu dapat elaun berapa sebulan? " Inilah antara soalan yang glemer yang pernah ditanya. Hanya menjawab, sukarela. Tak tahu lah kenapa, sangat sayang untuk meninggalkan iLuvislam.com. Bak kata Makngah, macam dijampi pulak. Hehe. Kerana apa ye? Mungkin hanya sesiapa yang merasainya sendiri akan boleh menjawab dan tahu akan jawapannya..

Salah satunya, i love islam ( iluvislam ). Daripada ini, dapat satu jawapan. Bekerja kerana sayangkan Islam. Bersama-sama untuk mengajak remaja-remaja terutamanya kepada Islam kembali, tidak kira atas dasar dia dari mana dan sebagainya. Yang kedua, ukhuwwah. Ukhuwwah yang begitu erat dalam kalangan krew walaupun ada yang hanya mengenali di alam maya, namun atas dasar ukhuwwah kerana Allah, kami sangat erat. Itulah yang sangat indah. Alhamdulillah Ya Allah..

Kembali kepada topik asal, mengenai semester. Semester 2 yang akan datang, mestilah lagi mencabar berbanding sem 1 baru-baru ini. Lagi 4 bulan diriku harus bertahan untuk menghabiskan asasi ini. Keputusan sem kali ini amat penting untuk melayakkan diri saya untuk memilih kursus yang diminati dan jugak untuk 'fly over the sea'. Hehe, insyaAllah kalau ada rezeki. Sem 2 ini insyaAllah akan lebih struggle berbanding sem 1 yang dikira tak 100% serius. Result sem 1 pun belum menunjukkan tanda-tanda untuk diumumkan.

Mohon doa daripada sahabat-sahabat sekalian agar segala urusan saya pada tahun ini, tahun depan dan selepas ini akan berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala urusan oleh Allah dan dalam keredhaanNya. InsyaAllah...



Meninggalkan posting kali ini dengan sedikit kata-kata nasihat, insyaAllah :

Belajarlah “aku tidak tahu”, kerana jika engkau belajar “aku tidak tahu“, mereka akan mengajar engkau sehingga engkau tahu, tetapi jika engkau belajar “aku tahu” maka mereka akan bertanya engkau sehingga engkau tidak tahu!!



Barakallahu lakum..

Wallahu A'lam




Berdakwah Kepada Kanak-Kanak : Sucinya Hati Mereka

Bismilahirrahimanirrahim..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Sudah lama tidak posting sendiri dalam blog ni. Pemalas betul empunya blog ni. Aish. Walaupun tengah cuti semester sekarang ni, tapi masih ada komitmen dan tugas lain selain daripada belajar untuk dibereskan. Apa pun, hari ni nak berkongsi kisah benar yang berlaku pada hari ni, tersentuh hati dengan apa yang berlaku hari ini. Jadi nak berkongsi bersama sahabat-sahabat semua. InsyaAllah. Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar.

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. telah bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Berdasarkan mafhum sabda Rasulullah SAW di atas, maka telah terbukti bahawa semasa seseorang itu masih kecil dan kanak-kanak, akan senang dibentuk. Terpulang kepada ibu bapa terutamanya untuk mendidik anak-anak mereka untuk menjadi bagaimana. Ibu bapa lah yang akan mencorak kain putih tersebut.

Kalau ibu bapa mencorak anak-anak dengan baik ditambah lagi dengan biah solehah di sekeliling, insyaAllah, anak-anak itu akan menjadi pejuang syiar Islam pada masa akan datang.

Pada pagi tadi, ana dan sepupu kesayangan yang berumur 3tahun pergi ke satu restoran untuk makan tengahari. Sepupu ni memang petah bercakap, nama penuhnya Tengku Ahmad Farid Amirul B Tengku Ahmad Zaidi. Tapi dipanggil Bob sahaja kerana fizikalnya pada masa kecik sanga sihat berbanding bayi yang sebayanya.

Kebetulan hari ni, Bob memakai seluar pendek. Biasalah budak-budak kan. Semasa tunggu pesanan sampai, ana pun berbual la dengan Bob ni. Bertanya itu dan ini, menyakat dia dan sebagainya. Kemudian dia duduk berlunjur di atas kerusi di situ. Dan menampakkan lututnya. Berikut antara dialog antara ana dan Bob ( tidak sepenuhnya menggunakan struktur ayat macam ni. ) :

Puteri : Adik, tak baik ni pakai seluar pendek. Nampak lutut tu. Tak malu orang tengok.

Bob : Ni Bob tutup dah ni. Tak nampak dah la lutut Bob.

Puteri : Haa, itu nampak lagi lutut. Tak baik tau nampak lutut ni. Nanti Allah marah. Orang lelaki kena
seluar biar tutup lutut.

Then nampak dia macam diam je. Berfikir kot pasal nampak dia macam termenung.

Puteri : Esok adik nak pakai seluar apa?

Bob : Seluar panjang la.

Puteri : Kenapa nak pakai seluar panjang?

Bob : Nanti pakai seluar pendek, nampak la lutut. Pakai seluar panjang, tak nampak lutut.

Puteri : Kenapa tak boleh nampak lutut? Siapa marah?

Bob : Allah marah la nanti.

Alhamdulillah, berkesan la ni kot. Biasanya budak sekejap sahaja ingatannya. Tapi, Alhamdulillah dia sampai ke rumah pun masih ingat. Sampai kat rumah, dalam keadaan cuaca panas, biasanya akan pakai seluar pendek jugak budak ni.

Puteri : Adik, tukar seluar. Pakai seluar ni dok kat rumah.

Bob : Tu seluar pendek la. Nanti nampak lutut. Allah marah.

Adeiii..Den sendiri terkena lepas tu. Alhamdulillah. Begitu cepat terkesan pada jiwa seorang kanak-kanak. Kanak-kanak ni, hati mereka masih suci dan bersih, tidak dikotori dengan dosa lagi. Berbeza dengan kita, masyaAllah. Sebab itu Rasulullah SAW tersangat sayang dan kasih kepada kanak-kanak. Mereka akan cepat menerima apa yang diajar. Ibaratnya kalau mereka ni menghafaz, apa yang dihafaz tu seperti diukir di atas batu. Susah nak lupa dan hilang dari ingatan mereka jika kena pada cara didikannya.

Lagi satu peristiwa, berlaku semasa musim perayaan hari tu. Masih berkisar kepada Bob ni. Keluarga ana masa tu pegi beraya ke rumah kawan mama dan abah dan Bob pun ikut sekali. Kebetulan rumah kawan tersebut mengadakan tahlil dan solat hajat sempena majlis perkahwinan anaknya. Jadi, abah ana pun join sekali la tahlil dan solat hajat ni. Tidak terkecuali, Bob pun join jugak. ( Sorang je kanak-kanak yang ada ).

Lepas selesai majlis ni, ada dihidangkan makanan. Pulut kuning yang menjadi hidangan. Bob ni memang kegemaran dia la kalau pulut kuning ni. Kemudian Bob ni, dia pergi duduk kat tengah-tengah orang yang sedang makan. Tuan rumah pun tanya la dia, nak makan ke. Dia angguk la kepala tanda nak makan. Masa tu, semua tetamu yang lain sedang makan, tok imam, apa semua. Biasa la tetamu, lepas habis tahlil, terus makan sambil berborak.

Lepas tuan rumah kasi pulut kuning tu pada Bob, Bob pun duduk bersila kat tengah-tengah orang ramai tu. Kemudian, mengadap pinggan dia, menadah tangan ( baca doa makan ), kemudian menyapu muka dia. Barulah dia makan. Semua tetamu kat situ pandang kat Bob ni. Tercengang. Pasal budak umur 3 tahun, menadah tangan membaca doa dahulu sebelum makan. Berbanding diorang, dapat pinggan, bismilah sahaja ( mungkin ) kemudian terus makan.

Mereka pakat gelak. Ada yang kata, " Adoi. Budak kecik ni pun tahu tadah tangan dulu baca doa sebelum makan. Kita semua ni terus sahaja makan tanpa menadah tangan membaca doa. Terkena kita semua malam ni dengan budak kecik ni."

Alhamdulillah, Bob ni jenis cepat menghafaz dan mengingat sesuatu perkara apa yang dia pelajari. Mungkin dengan persekitaran yang dia alami, dia kurang berkawan dengan rakan sebaya umurnya, tetapi dia suka berkawan dan yang dah besar. Jadi, dia cepat belajar daripada persekitaran. Ditambah ramai yang melayan dia terutama keluarga ana kerana Bob ni tersangat rapat dengan keluarga ana. Sampaikan dia beritahu orang, yang dia anak abah ana. Adeii.

Kesimpulannya, didiklah anak-anak sejak kecil lagi dengan asuhan dan didikan yang betul. Hati mereka masih suci dan bersih, mereka belum melakukan sebarang dosa, jadi janganlah kita cemarkan jiwa dan hati mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya.


Wallahu A'lam

Si Cacat Dan Si Kaya

Manusia dewasa ini semakin 'kabur' matanya dalam mengenal Penciptanya. Manusia kian alpa dalam sogokan kemewahan serta hiburan di dunia ini. Oleh itu, terpanggil rasanya diri yang hina ini untuk bertindak sebagai 'kaca mata' kepada pencipta Islam sekalian agar kita dapat melihat dengan lebih jelas tentang keindahan Deen'ul Jannah kembali.Kanta bagi kaca mata ini adalah berbentuk sebuah tamsilan.

Tamsilan dimulakan dengan kisah seorang lelaki yang cacat sejak dari lahirnya. Dia tiada tangan dan kaki. Ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Lantaran kemiskinan hidup, dia menjadi pengemis di lorong kaki lima. Dengan hasil sedekahnya itu, dia makan dan minum sekadar cuma. Sehinggalah pada suatu petang yang mendamaikan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menyegarkan tubuh Si Cacat yang kelesuan. Gelas sedekahnya setia di depannya.

Tiba-tiba sebuah kereta BMW mewah berhenti di hadapan Si Cacat. Turun seorang lelaki yang segak dari tempat duduk belakang kemudian mara menghampirinya. "Mari ikut aku," ujar Si Kaya. "Pergi ke mana?" tanya Si Cacat. "Menemui kebahagianmu," jawab Si Kaya lantas membawa Si Cacat ke sebuah banglo yang sangat mewah persis sebuah istana. Si Kaya memanggil semua doktor-doktor pakar untuk membantu Si Cacat agar dapat hidup seperti manusia normal.

Dengan teknologi yang semakin canggih, Si Cacat mendapat sepasang tangan dan sepasang kaki elektronik yang dapat berfungsi seperti anggota yang asli. Tidak cukup dengan itu, Si Kaya memberi kepercayaan kepada Si Cacat untuk memegang salah sebuah syarikatnya. Semenjak itu Si Cacat telah bertukar menjadi Si Bertuah. Dia mengurus syarikat yang diberikan kepadanya dengan bersungguh-sungguh. Hasil ketekunan dalam pekerjaannya, Si Kaya telah setuju untuk mengahwinkan Si Bertuah dengan puterinya yang sangat cantik rupa parasnya dan sangat baik budi pekertinya.

Si Bertuah berasa sangat berterima kasih kepada pemberian Si Kaya. Sebagai membalas jasa Si Kaya, Si Bertuah selalu menceritakan kebaikan Si Kaya kepada kawan-kawannya agar ramai yang ingin mendekati Si Kaya. Si Kaya mendapat tahu bahawa dirinya selalu menjadi pujian orang ramai atas cerita yang disampaikan oleh Si Bertuah. Lantas dia memberikan lebih banyak hadiah kepada Si Bertuah. Selain itu, Si Bertuah tidak pernah lupa menghubungi Si Kaya. Kepada Si Kayalah dia meminta bantuan dan kepada Si Kayalah dia mengadu masalah. Sehinggakan jika ditelefon, Si Bertuah cepat-cepat saja menjawab panggilan Si Kaya kerana sayangnya yang teramat kepada Si Kaya.

MAKSUD TAMSILAN KISAH SI CACAT

Si Cacat dalam cerita di atas merujuk kepada kita sebagai umat manusia. Asalnya kita semua tidak memiliki keupayaan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tetapi, pemurahnya ALLAH SWT telah memberikan kita nikmat agar kita mudah mengerjakan perbuatan. Tangan dan kaki elektronik inilah yang merujuk kepada nikmat pemberian ALLAH SWT. Lantas ALLAH SWT menyuruh kita melaksanakan perintah-NYA dan memberi kita amanah untuk beramal ibadat kepada kita, itulah tamsilan bagi pekerjaan Si Bertuah.

Syarikat di atas pula merujuk kepada pahala kita. Semakin tekun kita beribadat maka semakin banyaklah keuntungan pahala kita. Oleh kerana ketekunan kita, ALLAH SWT menambahkan kebahagian kepada kita agar kita gembira. Sudah semestinya kita akan menceritakan kebaikan dari Maha Pemberi nikmat terhadap orang ramai; yakni kita berdakwah agar lebih ramai yang menyanyangi dan mengikuti agama ALLAH SWT. Tatkala mengetahui kita selalu memuji-muji diri-NYA, makin banyaklah nikmat-nikmat kebaikan yang kita perolehi.

Lantas, kita pun pasti akan cepat-cepat menjawab panggilan ALLAH SWT yakni kita yang senantiasa dibantu ALLAH sudah tentu akan tidak berlambat-lambat mengerjakan ibadat solat selepas seruan azan dilaungkan. Apa yang dapat kita simpulkan di sini, kita sebagai hamba ALLAH yang hina-dina ini sepatutnya sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan ALLAH SWT. Jangan pernah berlaku sombong kepada-NYA dan sentiasalah berdakwah yakni menyeru umat manusia mentaati ALLAH dan menjauhi larangan-NYA.

Sahutlah panggilan ALLAH yang menyuruh kita mengerjakan solat dan dirikanlah ia di awal waktu agar limpah kurnia serta taufiq dan hidayahnya terus-menerus dilimpahkan kepada kita. Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Ma'idah dari ayat 9-11 yang mafhumnya:

'Dan ALLAH telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka itu keampunan dan pahala yang besar.Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat KAMI, mereka itu penghuni neraka.Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat ALLAH kepadamu, ketika satu kaum bercita-cita hendak menyerangmu (membunuhmu), lalu ALLAH menahan tangan mereka daripadamu dan takutlah kepada ALLAH. Dan kepada ALLAH hendaklah bertawakal orang-orang yang beriman.'

Remaja Berakhlak di Bawah Panji-Panji Nabi Yusuf as.

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerah kepada seseorang lantaran runtunan hawa hafsu.

Budaya barat bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah menjadikan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yg begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah islam, mendampingkan diri dengan kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negara dan pemerintahannya mengabaikan peraturan Allah SWT. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjerumus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah SWT serta asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang berpegang teguh dengan hukum Allah SWT sahaja akan selamat daripada segala bencana itu.



Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta berakhlak yang mulia, merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan "selamat datang wahai para remaja yang baik".
Demikianlah penghargaan dan balasan Allah SWT terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah SWT mengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu, lalu diperintahkan para malaikat supaya menempatkan para remaja itu di sebelah kanan. Untuk mereka, disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah Taala menyeru Nabi Yusuf AS untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukmin, berakhlak, sabar dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf terpilih menjadi ketua para belia yg baik budi pekerti kerana Baginda adalah seorang Nabi yg sangat kacak dan tampan.
Ketampanannya menggoda ramai wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun, Nabi Yusuf berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu. Ulamak tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf AS. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama "Surah Yusuf", yang bukan sahaja menceritakan paras rupa Nabi Yusuf yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan Baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang Nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf AS.

Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan hati Baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segola godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama Nabi Yusuf di bawah panji-panji hijau di Akhirat kelak. Setelah itu, Allah SWT memuliakan orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah SWT. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru, mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT kerana sifat yang terpuji itu. Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan benteng penghalang daripada segala persengketaan dan pemusuhan.


* Petikan daripada
buku "Nota Kepada Diri" karya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat

Pengajaran Kisah Tukang Kayu

Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.

Tukang kayu ini tidak akan menerima upah lagi sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya itu. Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang singkat. Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata,

"Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."


Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Dia tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.

Pengajaran

Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan kehidupan sekarang, kita merasa selesa kerana ibu bapa kita sentiasa berada di samping kita, memberi sokongan dan membantu kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI.

Belajarlah bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda ini dengan belajar bersungguh-sungguh. Sematkan cita-cita untuk menjadi seorang manusia berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."


Source : www.iLuvislam.com

NUKILAN KHAS DARI AL-AZHAR KEPADA SESEORANG YANG ISTEMEWA…

Posted By : Mohd Syazwan

NUKILAN KHAS DARI AL-AZHAR KEPADA SESEORANG YANG ISTEMEWA…
(p/s : hayati cerita ini bersama musik tema yg kami sajikan)


Terlakar sebuah kisah seorang alim bersama ibunya. Suatu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan berhajat untuk pergi ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji. Tatkala dia meminta izin dari ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan.
Berkata si ibu selepas menghela nafasnya yang panjang di dada, nak,tundalah dahulu keberangkatanmu itu sampai tahun hadapan. Sesungguhnya, ibu merasa bimbang terhadap keselamatanmu… nak,ibu merayu kepada mu nak, kerana engkaulah satu-satunya anak yang hidup dari hasil perkahwinanku dengan almarhum abahmu,suamiku”.
Si alim itu terpaku seketika…bingung. Namun apakan daya,cintanya sangat mendalam kepada Rabbnya menyebabkan dia sudah tidak dapat lagi menahan keinginannya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. “nak,ibu merayu nak,janganlah pergi lagi nak…”,tangis seorang ibu,merayu,meminta!!! (kamu wahai pembaca,jika kamu dalam dilemma sebegini,adakah hati kamu itu akan berbolak-balik juga?apakah yang kamu akan putuskan?dirimu?ibumu?)
Sahabat-sahabatku, ingatlah pesanan nabi ini,sesungguhnya tangisan bapa akan membelah bumi(kerana takutnya bumi) manakala tangisan ibu pula akan membelah langit dan bumi(terbuka semua pintu langit dan doa si ibu itu di sambut oleh malaikat untuk dihadapkan di hadapan Allah,Maha Pengadil) sesungguhnya Allah memakbulkan doa ibu kepada anaknya,maka berbahagialah kamu wahai kaum ibu.
Akhirnya dia berangkat. Dia berangkat. Dia berangkat ke Tanah Haram tanpa mendapat restu dari ibunya!!! Jelaslah keputusannya ini bertentangan dengan suruhan Nabi. Kerana redha Allah bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah terletak kepada murka orang tua.
Ketika menyaksikan keberangkatan anaknya itu, si ibu yang sudah tua tergopoh-gapah,terhuyung-hayang mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh…jauh ke hadapan…sayu dari renungan ibunya…sayu hati ibunya. Dia tidak mengendahkan lagi suara dan tangisan ibunya yang memanggil-manggil, “nak…nak…nak…”, sambil berlari-lari itu. Berdoa si ibu, “Ya Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan. Ku mohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”


Si alim tadi terus melangkah.


Setelah beberapa lama si alim bermusafir, dia singgah ke sebuah kota kecil sebelum tiba di destinasi,dia berhenti…meninjau-ninjau sekilas pandang… mencari-cari lapangan… demi melepaskan penat lelahnya itu. Menjelang maghrib dia berangkat ke sebuah masjid menunaikan solat di sana. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga larut malam.
Di sudut kota yang lain,terjadi satu peristiwa yang menggemparkan pada malam itu juga. Seorang pencuri telah pecah masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk. Sedar tak sedar akhirnya tuan rumah itu terjaga lalu menjerit dan memekik, “pencuri! pencuri!”. Sahutan tuan rumah didengari jirannya menyebabkan seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya…terus mengejarnya…terus mengejarnya… Pencuri itu lari ke arah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Penduduk kampung itu terus bergegas ke sana. Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.
Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Tuan,kita sudah mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”
Yang lainnya pula berkata: “Mustahil dia ditelan bumi?! Aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari di dalam masjid. Jangan-jangan dia bersembunyi di situ.”
Maka penduduk kampung itu menerjah masuk ke dalam masjid. Ya,ternyata benar sangkaan salah seorang dari mereka tadi,ternyata ada seorang asing sedang duduk membaca tasbih di sebelah mimbar. Pertanyaan tidak berguna lagi begitulah juga pembelaan terhadap diri sendiri…segalanya sudah tiada gunanya kerana amarah penduduk kampung itu sudahpun memuncak bergunung-gunung tinggi, si alim itu ditarik keluar ke halaman masjid…dipukul,dibelasah,diterajang,ditendang, dihanyak,dihempuk…ah,segala macam lagilah pembalasan yang diterimanya! Dia longlai,pengsan.
Akhirnya hakim kota tersebut memutuskan suatu hukuman yang berat ke atasnya kerana desakan masyarakat. Maka si alim itu diikat pada tiang dan dicambuk badannya. Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya hukumam qisas itu.
Hari semakin siang, begitu juga halnya dengan kebanjiran penduduk kampung yang semakin ramai berkumpul bukan hanya menonton bahkan meludah pencuri yang terkutuk itu. Dalam azab tak terperi sakitnya,si alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang malaung: “Inilah hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil meludah ke muka si alim tersebut.
Manusia yang dihukum kerana dianggap sebagai pencuri itu (si alim) dengan suara yang tersendat-sendat membuka mulutnya berkata: “Tuaaann,tuaaann…tolong jangan katakan sedemikian. Lebih baik beritahu kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua.”
Seisi kampung terkelu sekelumit. Diam tanpa berbicara sedangkan si alim itu sakit sangsara. Si alim tadi menceritakan perihal yang sebenarnya lantas membingungkan masyarakat sehingga mereka serba salah. Akhirnya mereka menceritakan kembali hal itu kepada hakim.
Kedatangan hakim kembali…kes itu dikupas kembali…keputusan pula ditarik kembali. Setelah segala perbicaraan selesai barulah masyarakat kampung itu tersedar dari kesilapan mereka bahkan di saat itu jugalah mereka mula mengenali si alim itu, rupa-rupanya si alim itulah orang soleh dan ahli ibadah yang heboh khabarnya dijalanan selain kota mereka. Mereka belum pernah mengatahui rupa parasnya. Apa yang mereka tahu hanyalah berita tentang dirinya sahaja. Golongan ibu mulai sedih…
Setelah si alim tadi dibebaskan daripada seksaannya yang dasyat lagi membinasakan itu,dia meminta agar dihantarkan ke rumah ibunya pada malam itu juga. Ketika itu jugalah si ibu menadah tangan dan berdoa : “Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”
Setelah usai dari doanya itu, kedapatan segerombolan manusia memenuhi lapangan di rumahnya itu. Si alim meminta agar didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang mengantarnya itu pergi… usai segala permasalahannya bersama penduduk kota itu. Sesudah keadaan sunyi kembali -tidak ada insan lain- maka si alim itu pun berseru dengan suara yang pilu:
“Asalamualaikum.”
Hati si ibu tergoncang bergetar-getar ibarat insan yang lari menyelamatkan diri dari sambaran kilat…
“waalaikummussalam”,si ibu bermonolog sendirian pada asalnya lalu di ulang kembali, “walaikummussalam” dengan suara yang syahdu. Kini,giliran si alim pula bergetar hatinya lalu meminta: “Saya adalah musafir yang terlantar. Puan,tolong beri saya roti dan air sejuk…saya lapar” kata orang alim itu menyamar diri.
“Dekatkanlah dirimu ke pintu hai musafir. Hulurkan tanganmu melalui celah pintuku ini,” jawab suara tadi dari dalam.
“Maafkan saya puan, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu kerana tangan saya tarlalu lesu.”
“Jadi bagaimanakah caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”
“Jangan bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut. “Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah puan.”
Akhirnya si ibu itu keluar sambil membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Sebak di dada,hati meraung,titisan mata menderu ke pipinya…begitulah perihal si alim tadi apabila mendapati ibunya mula mendekatinya. Dia pasrah dari menahan diri. Dia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu yang derhaka.” Ibunya terkasima seketika dan terkejut. Dia merenung tepat ke arah muka si alim itu yang cacat anggota badannya lalu menjerit !!!menjerit!!! ibarat orang gila yang hilang pedoman. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.
Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”
Tuntasnya sahabat-sahabat pembaca,ibu adalah aset yang amat bernilai bagi makhluk yang bernama insan…siapalah kita ini yang berani menidakkan suruhan dan tuntutan ibu kita, SIAPALAH KITA?!!! Oleh itu,sukalah saya menarik kembali perhatian pembaca-pembaca sekalian bagi mereka yang masih mempunyai ibu (bukan bakal ibu ea) ataupun ibunya sudah di perkuburan,peliharalah adab kita terhadap ibu kita,tutr kita,bicara kita,doa kita…segalanya lah kan…bukanlah pujian yang ku harapkan darimu!!! Ah,persetankan pujianmu itu! (juga cacian…hehe,kalau ada lah kan) aku hanya harapkan agar kita semua kembali mengingati WAJAH ibu kita,PENGORBANAN ibu kita…wallahua`lam.


Kisah Muslimah Agung: Fatimah RA

Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s. a. w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r. a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah s. a. w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah s. a. w. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."

Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s. a. w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s. a. w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"

"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya


Source : www.iluvislam.com

Umurku Setahun??

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Alhamdulillah..hari ni hari kegembiraan, hari kemenangan kita semua..Hari Raya Aidilfitri..

Kenapa tajuk posting kali ni, Umurku Setahun??..Hehe, itu bukan bermaksud tuan punya blog ni berumur setahun. Kalau tuan punya blog ni berumur setahun, aish, memang bijak lagi canggih lagi apa ntah, budak berumur setahun boleh menaip2, bermain laptop, dan mengeja, membaca dan mengarang..Melalut sudah..

Tajuk posting kali ini sempena blog ini sudah berusia setahun. Tanggal 2 Syawal 1429, blog ini dibina. Jadi, sekarang sudah genap berusia setahun. Tapi, masih banyak kekurangan dan kelemahan dalam blog ini. Apa pun, semoga kekurangan dan kelemahan ini dapat ditampung pada masa akan datang. Dan semoga, teladan, pengajaran dan segala yang baik dapat diambil untuk dijadikan contoh..

Speechless to say..Lain kali plak update posting. Nak pi sambung beraya pulak. Aishh. Bila masa entah nak stadi, sedangkan final exam hanya tinggal lagi seminggu lebih kurang.

Barakallahu lakum..
Wallahu Taala A'lam