Berdakwah Kepada Kanak-Kanak : Sucinya Hati Mereka

Bismilahirrahimanirrahim..
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Sudah lama tidak posting sendiri dalam blog ni. Pemalas betul empunya blog ni. Aish. Walaupun tengah cuti semester sekarang ni, tapi masih ada komitmen dan tugas lain selain daripada belajar untuk dibereskan. Apa pun, hari ni nak berkongsi kisah benar yang berlaku pada hari ni, tersentuh hati dengan apa yang berlaku hari ini. Jadi nak berkongsi bersama sahabat-sahabat semua. InsyaAllah. Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar.

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. telah bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Berdasarkan mafhum sabda Rasulullah SAW di atas, maka telah terbukti bahawa semasa seseorang itu masih kecil dan kanak-kanak, akan senang dibentuk. Terpulang kepada ibu bapa terutamanya untuk mendidik anak-anak mereka untuk menjadi bagaimana. Ibu bapa lah yang akan mencorak kain putih tersebut.

Kalau ibu bapa mencorak anak-anak dengan baik ditambah lagi dengan biah solehah di sekeliling, insyaAllah, anak-anak itu akan menjadi pejuang syiar Islam pada masa akan datang.

Pada pagi tadi, ana dan sepupu kesayangan yang berumur 3tahun pergi ke satu restoran untuk makan tengahari. Sepupu ni memang petah bercakap, nama penuhnya Tengku Ahmad Farid Amirul B Tengku Ahmad Zaidi. Tapi dipanggil Bob sahaja kerana fizikalnya pada masa kecik sanga sihat berbanding bayi yang sebayanya.

Kebetulan hari ni, Bob memakai seluar pendek. Biasalah budak-budak kan. Semasa tunggu pesanan sampai, ana pun berbual la dengan Bob ni. Bertanya itu dan ini, menyakat dia dan sebagainya. Kemudian dia duduk berlunjur di atas kerusi di situ. Dan menampakkan lututnya. Berikut antara dialog antara ana dan Bob ( tidak sepenuhnya menggunakan struktur ayat macam ni. ) :

Puteri : Adik, tak baik ni pakai seluar pendek. Nampak lutut tu. Tak malu orang tengok.

Bob : Ni Bob tutup dah ni. Tak nampak dah la lutut Bob.

Puteri : Haa, itu nampak lagi lutut. Tak baik tau nampak lutut ni. Nanti Allah marah. Orang lelaki kena
seluar biar tutup lutut.

Then nampak dia macam diam je. Berfikir kot pasal nampak dia macam termenung.

Puteri : Esok adik nak pakai seluar apa?

Bob : Seluar panjang la.

Puteri : Kenapa nak pakai seluar panjang?

Bob : Nanti pakai seluar pendek, nampak la lutut. Pakai seluar panjang, tak nampak lutut.

Puteri : Kenapa tak boleh nampak lutut? Siapa marah?

Bob : Allah marah la nanti.

Alhamdulillah, berkesan la ni kot. Biasanya budak sekejap sahaja ingatannya. Tapi, Alhamdulillah dia sampai ke rumah pun masih ingat. Sampai kat rumah, dalam keadaan cuaca panas, biasanya akan pakai seluar pendek jugak budak ni.

Puteri : Adik, tukar seluar. Pakai seluar ni dok kat rumah.

Bob : Tu seluar pendek la. Nanti nampak lutut. Allah marah.

Adeiii..Den sendiri terkena lepas tu. Alhamdulillah. Begitu cepat terkesan pada jiwa seorang kanak-kanak. Kanak-kanak ni, hati mereka masih suci dan bersih, tidak dikotori dengan dosa lagi. Berbeza dengan kita, masyaAllah. Sebab itu Rasulullah SAW tersangat sayang dan kasih kepada kanak-kanak. Mereka akan cepat menerima apa yang diajar. Ibaratnya kalau mereka ni menghafaz, apa yang dihafaz tu seperti diukir di atas batu. Susah nak lupa dan hilang dari ingatan mereka jika kena pada cara didikannya.

Lagi satu peristiwa, berlaku semasa musim perayaan hari tu. Masih berkisar kepada Bob ni. Keluarga ana masa tu pegi beraya ke rumah kawan mama dan abah dan Bob pun ikut sekali. Kebetulan rumah kawan tersebut mengadakan tahlil dan solat hajat sempena majlis perkahwinan anaknya. Jadi, abah ana pun join sekali la tahlil dan solat hajat ni. Tidak terkecuali, Bob pun join jugak. ( Sorang je kanak-kanak yang ada ).

Lepas selesai majlis ni, ada dihidangkan makanan. Pulut kuning yang menjadi hidangan. Bob ni memang kegemaran dia la kalau pulut kuning ni. Kemudian Bob ni, dia pergi duduk kat tengah-tengah orang yang sedang makan. Tuan rumah pun tanya la dia, nak makan ke. Dia angguk la kepala tanda nak makan. Masa tu, semua tetamu yang lain sedang makan, tok imam, apa semua. Biasa la tetamu, lepas habis tahlil, terus makan sambil berborak.

Lepas tuan rumah kasi pulut kuning tu pada Bob, Bob pun duduk bersila kat tengah-tengah orang ramai tu. Kemudian, mengadap pinggan dia, menadah tangan ( baca doa makan ), kemudian menyapu muka dia. Barulah dia makan. Semua tetamu kat situ pandang kat Bob ni. Tercengang. Pasal budak umur 3 tahun, menadah tangan membaca doa dahulu sebelum makan. Berbanding diorang, dapat pinggan, bismilah sahaja ( mungkin ) kemudian terus makan.

Mereka pakat gelak. Ada yang kata, " Adoi. Budak kecik ni pun tahu tadah tangan dulu baca doa sebelum makan. Kita semua ni terus sahaja makan tanpa menadah tangan membaca doa. Terkena kita semua malam ni dengan budak kecik ni."

Alhamdulillah, Bob ni jenis cepat menghafaz dan mengingat sesuatu perkara apa yang dia pelajari. Mungkin dengan persekitaran yang dia alami, dia kurang berkawan dengan rakan sebaya umurnya, tetapi dia suka berkawan dan yang dah besar. Jadi, dia cepat belajar daripada persekitaran. Ditambah ramai yang melayan dia terutama keluarga ana kerana Bob ni tersangat rapat dengan keluarga ana. Sampaikan dia beritahu orang, yang dia anak abah ana. Adeii.

Kesimpulannya, didiklah anak-anak sejak kecil lagi dengan asuhan dan didikan yang betul. Hati mereka masih suci dan bersih, mereka belum melakukan sebarang dosa, jadi janganlah kita cemarkan jiwa dan hati mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya.


Wallahu A'lam

Si Cacat Dan Si Kaya

Manusia dewasa ini semakin 'kabur' matanya dalam mengenal Penciptanya. Manusia kian alpa dalam sogokan kemewahan serta hiburan di dunia ini. Oleh itu, terpanggil rasanya diri yang hina ini untuk bertindak sebagai 'kaca mata' kepada pencipta Islam sekalian agar kita dapat melihat dengan lebih jelas tentang keindahan Deen'ul Jannah kembali.Kanta bagi kaca mata ini adalah berbentuk sebuah tamsilan.

Tamsilan dimulakan dengan kisah seorang lelaki yang cacat sejak dari lahirnya. Dia tiada tangan dan kaki. Ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Lantaran kemiskinan hidup, dia menjadi pengemis di lorong kaki lima. Dengan hasil sedekahnya itu, dia makan dan minum sekadar cuma. Sehinggalah pada suatu petang yang mendamaikan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menyegarkan tubuh Si Cacat yang kelesuan. Gelas sedekahnya setia di depannya.

Tiba-tiba sebuah kereta BMW mewah berhenti di hadapan Si Cacat. Turun seorang lelaki yang segak dari tempat duduk belakang kemudian mara menghampirinya. "Mari ikut aku," ujar Si Kaya. "Pergi ke mana?" tanya Si Cacat. "Menemui kebahagianmu," jawab Si Kaya lantas membawa Si Cacat ke sebuah banglo yang sangat mewah persis sebuah istana. Si Kaya memanggil semua doktor-doktor pakar untuk membantu Si Cacat agar dapat hidup seperti manusia normal.

Dengan teknologi yang semakin canggih, Si Cacat mendapat sepasang tangan dan sepasang kaki elektronik yang dapat berfungsi seperti anggota yang asli. Tidak cukup dengan itu, Si Kaya memberi kepercayaan kepada Si Cacat untuk memegang salah sebuah syarikatnya. Semenjak itu Si Cacat telah bertukar menjadi Si Bertuah. Dia mengurus syarikat yang diberikan kepadanya dengan bersungguh-sungguh. Hasil ketekunan dalam pekerjaannya, Si Kaya telah setuju untuk mengahwinkan Si Bertuah dengan puterinya yang sangat cantik rupa parasnya dan sangat baik budi pekertinya.

Si Bertuah berasa sangat berterima kasih kepada pemberian Si Kaya. Sebagai membalas jasa Si Kaya, Si Bertuah selalu menceritakan kebaikan Si Kaya kepada kawan-kawannya agar ramai yang ingin mendekati Si Kaya. Si Kaya mendapat tahu bahawa dirinya selalu menjadi pujian orang ramai atas cerita yang disampaikan oleh Si Bertuah. Lantas dia memberikan lebih banyak hadiah kepada Si Bertuah. Selain itu, Si Bertuah tidak pernah lupa menghubungi Si Kaya. Kepada Si Kayalah dia meminta bantuan dan kepada Si Kayalah dia mengadu masalah. Sehinggakan jika ditelefon, Si Bertuah cepat-cepat saja menjawab panggilan Si Kaya kerana sayangnya yang teramat kepada Si Kaya.

MAKSUD TAMSILAN KISAH SI CACAT

Si Cacat dalam cerita di atas merujuk kepada kita sebagai umat manusia. Asalnya kita semua tidak memiliki keupayaan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tetapi, pemurahnya ALLAH SWT telah memberikan kita nikmat agar kita mudah mengerjakan perbuatan. Tangan dan kaki elektronik inilah yang merujuk kepada nikmat pemberian ALLAH SWT. Lantas ALLAH SWT menyuruh kita melaksanakan perintah-NYA dan memberi kita amanah untuk beramal ibadat kepada kita, itulah tamsilan bagi pekerjaan Si Bertuah.

Syarikat di atas pula merujuk kepada pahala kita. Semakin tekun kita beribadat maka semakin banyaklah keuntungan pahala kita. Oleh kerana ketekunan kita, ALLAH SWT menambahkan kebahagian kepada kita agar kita gembira. Sudah semestinya kita akan menceritakan kebaikan dari Maha Pemberi nikmat terhadap orang ramai; yakni kita berdakwah agar lebih ramai yang menyanyangi dan mengikuti agama ALLAH SWT. Tatkala mengetahui kita selalu memuji-muji diri-NYA, makin banyaklah nikmat-nikmat kebaikan yang kita perolehi.

Lantas, kita pun pasti akan cepat-cepat menjawab panggilan ALLAH SWT yakni kita yang senantiasa dibantu ALLAH sudah tentu akan tidak berlambat-lambat mengerjakan ibadat solat selepas seruan azan dilaungkan. Apa yang dapat kita simpulkan di sini, kita sebagai hamba ALLAH yang hina-dina ini sepatutnya sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan ALLAH SWT. Jangan pernah berlaku sombong kepada-NYA dan sentiasalah berdakwah yakni menyeru umat manusia mentaati ALLAH dan menjauhi larangan-NYA.

Sahutlah panggilan ALLAH yang menyuruh kita mengerjakan solat dan dirikanlah ia di awal waktu agar limpah kurnia serta taufiq dan hidayahnya terus-menerus dilimpahkan kepada kita. Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Ma'idah dari ayat 9-11 yang mafhumnya:

'Dan ALLAH telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka itu keampunan dan pahala yang besar.Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat KAMI, mereka itu penghuni neraka.Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat ALLAH kepadamu, ketika satu kaum bercita-cita hendak menyerangmu (membunuhmu), lalu ALLAH menahan tangan mereka daripadamu dan takutlah kepada ALLAH. Dan kepada ALLAH hendaklah bertawakal orang-orang yang beriman.'

Remaja Berakhlak di Bawah Panji-Panji Nabi Yusuf as.

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerah kepada seseorang lantaran runtunan hawa hafsu.

Budaya barat bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah menjadikan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yg begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah islam, mendampingkan diri dengan kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negara dan pemerintahannya mengabaikan peraturan Allah SWT. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjerumus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah SWT serta asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang berpegang teguh dengan hukum Allah SWT sahaja akan selamat daripada segala bencana itu.



Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta berakhlak yang mulia, merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan "selamat datang wahai para remaja yang baik".
Demikianlah penghargaan dan balasan Allah SWT terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah SWT mengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu, lalu diperintahkan para malaikat supaya menempatkan para remaja itu di sebelah kanan. Untuk mereka, disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah Taala menyeru Nabi Yusuf AS untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukmin, berakhlak, sabar dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf terpilih menjadi ketua para belia yg baik budi pekerti kerana Baginda adalah seorang Nabi yg sangat kacak dan tampan.
Ketampanannya menggoda ramai wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun, Nabi Yusuf berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu. Ulamak tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf AS. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama "Surah Yusuf", yang bukan sahaja menceritakan paras rupa Nabi Yusuf yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan Baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang Nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf AS.

Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan hati Baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segola godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama Nabi Yusuf di bawah panji-panji hijau di Akhirat kelak. Setelah itu, Allah SWT memuliakan orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah SWT. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru, mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT kerana sifat yang terpuji itu. Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan benteng penghalang daripada segala persengketaan dan pemusuhan.


* Petikan daripada
buku "Nota Kepada Diri" karya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat

Pengajaran Kisah Tukang Kayu

Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.

Tukang kayu ini tidak akan menerima upah lagi sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya itu. Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang singkat. Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata,

"Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."


Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Dia tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.

Pengajaran

Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan kehidupan sekarang, kita merasa selesa kerana ibu bapa kita sentiasa berada di samping kita, memberi sokongan dan membantu kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI.

Belajarlah bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda ini dengan belajar bersungguh-sungguh. Sematkan cita-cita untuk menjadi seorang manusia berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."


Source : www.iLuvislam.com